Tuesday, 31 March 2009

bagaimana untuk melahirkan generasi berilmu di ipt

Bagaimanakah cara untuk melahirkan generasi berilmu di IPT?
Pelajar di universiti telah mencapai tahap tertinggi dalam arena pendidikan. Ibarat mereka yang ingin mencapai ke puncak kejayaan, berada di IPT atau menara gading boleh diibaratkan sebagai tangga tertinggi. Namun, kejayaan berada di menara gading tidak boleh hanya berangan-angan untuk menjadi berjaya seumpama angan-angan Mat Jenin. Ia perlu di mulakan dengan mempunyai strategi yang betul dan disempurnakan dengan komitmen. Jika tidak, pelajar yang jatuh merundum ibarat jatuh dari tempat yang tinggi pastinya ia lebih menyakitkan.
Ramai yang tersilap membuat perhitungan dengan membuat cita-cita dan perancangan yang rapi untuk berjaya di dalam peperiksaan SPM dan SPTM bagi memasuki universiti. Tetapi -setelah mereka berjaya ke universiti, kerja keras yang dibuat selama ini seakan sudah terhenti kerana cita-cita mereka hanya untuk melangkah masuk ke IPT sahaja. Ramai yang terleka dan terlena dengan keasyikan irama meraikan kejayaan menjadi mahasiswa dan mahasiswi. Lantas, terlupa jalan untuk berjaya masih jauh di hadapan. Pepatah Melayu ada menyebut, "usaha tangga kejayaan". Namun, apabila sudah berjaya menaiki tangga tersebut, mereka tidak boleh terlalu lama berada di tangga kejayaan, sebaliknya berusaha untuk menaiki anak tangga seterusnya. Jika tidak mereka akan menjadi terlalu seronok dan alpa sehingga menyangkakan sudah berada di zon selamat (confort zone). Lalu mereka tidak lagi gigih berusaha sebagaimana gigihnya mereka sebelum memasuki IPT.
Oleh itu, untuk melahirkan generasi berilmu di IPT, pelajar perlu membuat penetapan halatuju yang baru dan membuat "target" atau matlamat yang baru. Tanpa suatu matlamat yang jelas, pelajar tidak akan mencapai sasaran yang dikehendaki. Contohnya mereka sekarang perlu meletakkan matlamat untuk memperolehi anugerah Dekan, CGPA 3.5 ke atas, melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti universiti, persatuan, akademik dan bukan akademik, memegang jawatan dalam persatuan dan sebagainya. Ini merupakan kayu pengukur (bench mark) yang boleh membantu pelajar untuk menetapkan sasaran mereka.
Seterusnya, pelajar perlu pandai mengurus masa dan diri sendiri. Jika di sekolah, pelajar banyak dibantu oleh guru-guru, tetapi semasa di IPT pelajar lebih banyak diberikan kebebasan dan terpulang kepada kebijaksanaan mereka untuk menguruskan diri dan menyesuaikan dengan persekitaran pembelajaran yang dinamik. Pelajar mesti pandai untuk bergaul dengan pensyarah dan staf universiti yang lain secara mesra, tetapi masih mengekalkan rasa hormat kepada mereka. Mereka adalah orang yang lebih tua dan perlu dihormati, namun kebanyakan pensyarah adalah orang yang mesra dan mudah untuk didekati. Namun, harus diingat kata-kata yang biasa diungkapkan iaitu: "we are friendly but we are not your friends". Pelajar mesti pandai berbudi bahasa dengan pensyarah dan staf universiti tetapi bukan menganggap mereka seperti kawan-kawan mereka sehingga boleh bergurau senda yang menjatuhkan martabat orang yang lebih berusia.
Pelajar juga tidak harus terjebak dengan budaya buat kerja saat-saat akhir. Mereka mesti memulakan kerja sebaik sahaja diberikan tugasan oleh pensyarah. Pelajar juga mesti selalu berhubung dengan pensyarah dan mendapatkan pandangan serta bertanyakan perkara yang tidak mereka fahami. Pensyarah tidak pernah memberikan tusyen tambahan untuk pelajar mereka, tetapi mereka sentiasa bersedia dengan "consultation hours", malah mereka juga bersedia untuk memberikan kelas tambahan jika diperlukan oleh pelajar. Oleh itu pelajar tidak harus melepaskan peluang untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dari para pensyarah di samping mendapatkan tips-tips penting bagi menghadapi peperiksaan.
Pelajar juga perlu berada dalam alam pembelajaran yang memberangsangkan. Mereka perlu mewujudkan kumpulan perbincangan, bukan kumpulan borak atau kumpulan berjoli. Amat malang jika masa belajar di waktu malam disia-siakan sahaja dengan bermain "games", ber"chatting", melayari internet dan seumpama dengannya hingga ke dinihari. Sehingga ada yang terlepas kuliah esok pagi atau tidak bermaya untuk mengikuti kuliah pada keesokkan harinya.
Paling utama pelajar perlu memantapkan hubungan dengan Pencipta yang Maha Esa. Pelajar perlu bersedia bagi menyempurnakan amanah dan tuntutan Ilahi terutamanya menunaikan solat 5 waktu. Terlebih baik jika mereka dapat menyempurnakannya secara berjemaah dan bersama-sama merasai kebesaran Allah serta berdoa bagi memperoleh kejayaan di dunia dan di akhirat. InsyaAllah dengan usaha berterusan dan doa serta tawakal generasi berilmu akan dapat dilahirkan di IPT serta memberikan kesan berterusan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara serta ummah secara keseluruhannya. Wallahu'alam.

3 comments:

AnDeH said...

Salam,
menarik entry Ustaz kali ini. Sy bersetuju dgn pendapat Ustaz yang Mahasiswa/i perlu melengkapkan diri sebagai generasi berilmu.
Mahasiswa perlu peka dngan kepelbagaian isu semasa yg berlaku samada peringkat Nasional atau Dunia.
Bg diri sy, sy suka untuk berfikir tatkala sesuatu isu berlaku. Misalnya, apabila US nk serang Iran tp Rusia berpakat dgn China. Mengapa hal ini berlaku? mengapa China dipilih? Mengapa perjanjian Shanghai dibentuk? Bile berfikiran begini sy akan mudah menggerakkan hati untuk mencari alasan diinternet. Baru kita tahu bahawa sejrah US and Rusia bagaimana sejak perang dingin 1947? Rusia pula mmg ada hubungan dgn China dlm Soviet Union suatu ketika dahulu dan sebagainya.
Baru2 ini kempen EARTH HOUR. Mengapa Australia pelopor utama sdangkan ketika pemerintahan JOhn Howard sebelum ini Protokol Kyoto tak pernah dindahkan...
Beginilah juga isu dalamn ngara samada sukan, hiburan, politik, ekonomi atau lain2 yang perlu dianalisa. BUkan setakat pengetahuna, namun lebih mncari alasan kenapa ia berlaku dan apa rasionalnya? pemikiran ini bakal mencambah ida dan pemikiran agar lebih bersifat kritis. Namun, telahan perlu berlandaskan pengamatan dan pembacaan. Bukan sekadar "tok bomoh" yang suka meramal smata2. Fakta lbih utama dalam mnntukan dapatan dan hujah kita untuk ssuatu perkara.

Dngan cara berblog ini juga alhamdulillah makin banyak ilmu baru yg sy dapat melalui pembacaan. Bnar atau tidak semuanya suara masyarakat kita yang meluahkan segala. Maka dengan faktalah kita menilai apa yang d baca.

Wallahu a'alm..

-Andeh-

D'Rimba said...

Kami anak bangsa juga amat memerlukan ramai pensyarah yang berjaya mengajar dan mendidik anak bangsa setulus jiwa bukan sekadar mengajar ikut sukatan matapelajaran semata tetapi tambah nilai daripada pensyarah sendiri sumber motivasi diri kami. Sekaligus kami akan terdorong belajar dengan bersungguh dan menjadi seimbang akal fikiran juga cemerlang matapelajaran.

asif said...

Salam Dr,

mungkin perlu dinyatakan apakah "ilmu bermanfaat" yang diperlukan..ilmu utk jadi mukmin sejati, ilmu utk mencari keperluan hidup ( rezeki ) dsb..kalau sekadar subjek yg perlu lulus utk dapat diploma atau ijazah, mungkin diperolehi tetapi tidak cukup utk menjadi bekal mencari pekerjaan apatah lagi bekal hidup dan mati..