Monday, 27 April 2009

Bertukar Kampus

Sebelas pelajar diminta untuk berjumpa saya dan berbincang sebab mereka memohon untuk bertukar kampus. Antara alasan yang diberikan ialah kurang selesa, tidak terdapat suasana pembelajaran yang baik, terlalu banyak aktiviti keagamaan dan sebagainya. Pada hemat saya, sebab yang dikemukakan "agak remeh" dan menyebabkan saya memanggil mereka supaya mereka jelas serta tidak "menyesal" kerana mengharapkan sesuatu suasana yang mungkin tidak dapat diperolehi di tempat yang baru.

Saya menjelaskan bahawa saya menyokong permohonan mereka semua (saya mendapati semuanya pelajar siswi). Cuma saya ingin kepastian dan biarlah saya memberikan sedikit senario yang pernah terjadi sebelum ini. Di mana pelajar yang memohon bertukar kampus, apabila mereka telah berada di tempat yang baru, kemudian menelefon "merayu" untuk kembali ke kampus lama. Ia adalah sesuatu keputusan yang perlu dibuat dengan penuh kesedaran dan tidak boleh setakat mencuba-cuba sahaja.

Saya juga jelaskan kepada mereka di mana pun kita berada, bukan tempat yang menentukan berjaya atau tidak seseorang itu. Tetapi dialah yang menentukannya. Adalah tidak benar bila berada di tempat yang cukup selesa anda boleh berjaya dan apabila anda dalam keadaan "tidak selesa" anda tidak boleh berjaya. Sebagai seorang yang telah berkecimpung dalam dunia pendidikan hampir 20 tahun, tempat bukan suatu faktor yang signifikan bagi saya. Malah, kita yang bertanggungjawab untuk menjadikan sesuatu tempat itu ceria, seronok, "happening" dan seumpamanya. Saya memberi contoh diri sendiri yang berada di kampus yang agak jauh di Segamat, namun kita masih mampu bersaing dan boleh "terbang" untuk berada bersama-sama sarjana lain di kota London, Jordan, Surabaya, Cairo, dan lain-lain. Jadi terpulanglah kepada diri sendiri untuk menempa kejayaan.

Selesai saya memberikan gambaran tersebut, sudah ada mereka yang bertanya bagaimana jika saya menarik balik permohonan tersebut. Saya hanya tersenyum dan saya fikir mereka sudah dapat membaca apa yang akan berlaku nanti apabila mereka berada di tempat baru.

Friday, 24 April 2009

Jom Umrah Cuti Sekolah

Sila klik atas imej yang dipaparkan untuk mendapatkan keterangan yang lebih jelas dan font lebih besar.

Thursday, 23 April 2009

Jemputan Umrah 2009

Saya telah merancang untuk menunaikan umrah bersama keluarga dan apabila diberikan peluang untuk menunaikan umrah pada tahun lepas, itu antara doa saya untuk membawa keluarga pada tahun berikutnya. Perancangan saya telah dibantu dengan disambut dengan baik oleh Prof Dr Kamil yang turut membawa keluarga. Begitu juga dengan Tuan Haji Zakaria, Penolong Bendahari saya yang turut membawa keluarga beliau. InsyaAllah, kami seramai 22 orang telah bersetuju untuk menjadi tetamu Allah.

Apa yang menarik ialah perancangan awal kami akan berangkat menaiki Pakistan Airline dengan "syarikat pertama" kerana tarikh yang sesuai iaitu cuti sekolah dan harga pakej yang ditawarkan agak menarik. Tetapi kemudian, saya diberi maklum harga telah dinaikkan sebanyak RM300 setiap orang. Saya agak kesal dengan kenaikan tersebut kerana ia agak membebankan kerana saya membawa isteri dan 6 orang anak. Jadi saya telah mencuba mendapatkan pakej dari syarikat yang lain. Saya ditawarkan oleh "syarikat kedua" penerbangan dengan Ettihad dengan harga yang jauh lebih murah tetapi tarikh yang diberikan tidak sesuai kerana ia melibatkan waktu persekolahan. Namun, pihak "syarikat kedua" berjanji akan cuba mendapatkan penerbangan dari Saudi Air dengan tarikh cuti sekolah. Saya arif ia pasti dengan kos yang jauh lebih tinggi kerana melibatkan Saudi Air, berbanding Pakistan atau Biman Airline. Jadi, saya terpaksa akur untuk menaiki penerbangan Pakistan Airline. Lalu, saya menyatakan kepada "syarikat kedua" bahawa saya memilih untuk menaiki Pakistan Airline bersama "syarikat pertama".

Namun, segala perancangan saya telah berubah apabila saya mendapat telefon dari "syarikat kedua" bahawa mereka mendapat faks dari Saudi Air yang senarai nama kami telah diterima oleh mereka dan "seats kami sudah confirm"! Oleh itu, hari ini saya bersemuka dengan "syarikat pertama" untuk menyatakan bahawa saya memilih untuk menaiki Saudi Air dan memilih "syarikat kedua". Memang gerak hati kecil saya mahu memilih menaiki Saudi Air dan alhamdulillah faks dari Saudi Air jelas menunjukkan nama kami tersenarai. Tambahan pula pihak "syarikat kedua" telah menawarkan harga yang lebih murah berbanding Pakistan Airline!

Saya ingin membuka peluang untuk semua yang berminat kerana ketika mendaftar nama tersebut kami memasukkan 30 nama. Tetapi beberapa sahabat telah menarik diri. Oleh itu terdapat kekosongan sebanyak 8 orang. Butiran adalah seperti berikut:

a) Harga pakej adalah RM5250 (dewasa) RM4650 (kanak-kanak bawah 11 tahun).
b) Penerbangan Saudi Air
c) Pakej Cuti Sekolah
d) Tarikh : 29 Mei - 8 Jun 2009 (11 hari / 9 malam)

MAKLUMAT LANJUT akan diberikan kemudian. Mungkin ini peluang anda untuk menunaikan umrah bersama Prof Dr Muhd Kami Ibrahim: The Nation Bestseller, Motivasi Haji.

Friday, 17 April 2009

ekonomi islam mikro

Buku tulisan Ir Adiwarman Karim, Ekonomi Mikro Islami menarik minat saya. Saya pernah juga membaca tulisan beliau dalam bidang perbankan Islam yang menjadi rujukan untuk kuliah saya. Buku terbitan The International Institute of Islamic Thought Indonesia, 2002 merupakan buku wajib untuk program IIIT on Islamic Economics di beberapa buah universiti di Indonesia.

Mengandungi 209 mukasurat, ia adalah rujukan yang sesuai untuk semua pembaca, walaupun ada beberapa istilah yang mungkin tidak biasa digunakan oleh penulis di Malaysia. Bermula dengan persoalan mengapa perlu wujud ekonomi Islam. Penulis telah memulakan bicara dengan mengemukakan fakta sejarah peradaban barat yang terhasil dari proses sekularisme. Ini telah menyebabkan faktor agama diketepikan dalam persoalan ekonomi. Persoalan yang ditimbulkan adalah "What is", dan "to explain". Namun persoalan mengenai "What best? dan "What should" diserahkan kepada individu untuk memutuskan sendiri.

Menariknya, penulis telah membawa hujah dari kalangan ahli ekonomi barat sendiri yang menolak faham sekularisme dan mencadangkan aliran ekonomi yang lebih holistik atau disebut sebagai "Grant Economics, Humanistic Economics, Social Economics, dan Institutional Economics". Nama-nama seperti Sismondi (1773-1842), Carlyle (1795-1881), Ruskin (1819-1900), Hobson (1858-1940), Tawney (1880-1962), E.F. Schumacher (1819-1971), Kenneth Boulding (1910-1993), Quentin Skinner, Theodore Roszak, dan ramai lagi telah menyarankan pendekatan holistik.

(bersambung).

Thursday, 16 April 2009

Penawar Jiwa

Mendengar suara Sheikh Saud Ash Shuraim http://haramainrecordings.blogspot.com dapat melembutkan jiwa dan apatah lagi jika dapat memahami setiap ayat-ayat suci yang menusuk jauh ke dalam hati sanubari.

Qari yang amat saya gemari ialah Sheikh Abdul Bari Ath Thubaity (Masjid Nabawi) dan Sheikh Sudais (Masjidil Haram).

Luangkan masa untuk mendengar bacaan ayat suci al-Qur'an dan jadikan ia sebagai amalan serta makanan untuk jiwa.

Monday, 6 April 2009

Batu-batu aneh

Kisah menarik mengenai batu-batu yang aneh:

Diceritakan, pada zaman dahulu ada seorang lelaki wukuf di Arafah. Dia berhenti di lapangan luas itu. Pada waktu itu orang sedang melakukan ibadat haji. Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang sangat penting. Bahkan wukuf di Arafah itu disebut sebagai haji yang sebenarnya kerana apabila seorang itu berwukuf di padang Arafah "dianggap" hajinya telah sempurna walaupun yang lainnya tidak sempat dilakukan. Sabda Rasulullah s.a.w. mengatakan :· "Alhajju Arafat" (Haji itu wukuf di Arafah).
Rupanya lelaki itu tadi masih belum mengenali Islam dengan lebih mendalam. Masih dalam istilah 'muallaf'. Semasa dia berada di situ, dia telah mengambil tujuh biji batu lalu berkata pada batu itu : "Hai batu-batu, saksikanlah olehmu bahawa aku bersumpah bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah."
Setelah dia berkata begitu dia pun tertidur di situ. Dia meletakkan ketujuh-tujuh batu itu di bawah kepalanya. Tidak lama kemudian dia bermimpi seolah-olah telah datang kiamat. Dalam mimpi itu jyga dia telah diperiksa segala dosa-dosa dan pahalanya oleh Tuhan. Setelah selesai pemeriksaan itu ternyata dia harus masuk ke dalam neraka. Maka dia pun pergi ke neraka dan hendak memasuki salah satu daripada pintu-pintunya. Tiba-tiba seketika batu kecil yang dikumpulnya tadi datang dekat pintu neraka tersebut. Tetapi mereka tidak sanggup rupanya. Malaikat azab telah berada di situ. Semua malaikat itu menolaknya masuk ke pintu neraka tersebut. Tapi sanggup rupanya. Kemudian dia pun pergi ke pintu lain. Para malaikat itu tetap berusaha hendak memasukkannya ke dalam neraka tapi tidak berjaya kerana batu mengikut ke mana sahaja dia pergi.
Akhirnya habislah ketujuh pintu neraka didatanginya. Para malaikat yang bertindak akan menyiksa orang-orang yang masuk neraka berusaha sekuat tenaga untuk menolak lelaki itu dalam neraka tetapi tidak berjaya. Sampai di pintu neraka nombor tujuh, neraka itu tidak mahu menerimanya kerana ada batu yang mengikutinya. Ketujuh-tujuh batu itu seolah-olah membentengi lelaki itu daripada memasuki neraka. Kemudian dia naik ke Arasy di langit yang ketujuh. Di situlah Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud : "Wahai hambaku, aku telah menyaksikan batu-batu yang engkau kumpulkan di padang Arafah. Aku tidak akan menyia-nyiakan hakmu. Bagaimana aku akan menyia-nyiakan hakmu sedangkan aku telah menyaksikan bunyi 'syahadat' yang engkau ucapkan itu. Sekarang masuklah engkau ke dalam syurga." Sebaik sahaja dia menghampiri pintu syurga itu, tiba-tiba pintu syurga itupun terbuka lebar. Rupanya kunci syurga itu adalah kalimat syahadat yang diucapkannya dahulu.

Sunday, 5 April 2009

Maulidurrasul 1430H


Friday, 3 April 2009

Insan Teristimewa

Kelahiran insan paling istimewa dari kandungan ibu teristimewa membawa rahmat bagi sekalian alam. Kisah kelahiran insan agung diceritakan oleh ibu teristimewa Aminah binti Wahab. Saat awal mula mengandung, Aminah telah melihat burung-burung berterbangan hinggap di perutnya dan mencarikan air yang suci bersih dan diberikan kepadanya sebagai tanda memuliakan kandungannya.
Aminah juga sentiasa bermimpi ketika mengandung insan agung, Nabi Muhammad s.a.w. Pernah Aminah menyebut, dia melihat dalam mimpinya sepohon pokok yang ada padanya bintang-bintang yang sangat terang cahayanya. Tetapi terdapat pula sebutir bintang yang amat terang menerangi seluruh bintang-bintang yang lain. Ketika itu, Aminah berkata: "Sedang aku asyik melihat bintang tersebut, maka ia telah jatuh ke dalam bilik ku dan lantas aku mendengar suara berkata; "Inilah Nabi penghulu sekalian segala rasul".
Aminah berkata: "Ketika aku terjaga, aku telah menceritakan mimpi tersebut kepada suamiku dalam keadaan mengeletar, lalu Abdullah berkata; "Bangun dan pergilah berjumpa dengan seorang yang bernama Khalifah bin A'ttab, dia akan mentafsirkan mimpi kamu". Apabila Aminah menceritakan mimpinya, Khalifah berkata; "Perumpamaan pokok itu adalah Ibrahim Khalilullah, bintang-bintang yang terang cahayanya adalah para Nabi dan satu bintang yang sangat terang sehingga boleh menerangi seluruh bintang-bintang yang lain adalah seorang Nabi yang akan muncul pada zaman ini. Dia menghancurkan berhala-berhala, dan menyembah Ar-Rahman. Adapun gugurnya bintang itu ke dalam bilikmu bermaksud; "Apabila kamu melahirkannya, nanti akan tinggi tempat (darjatnya) dan berkembang di Timur dan di Barat akan hujah-hujahnya".
Itulah serba sedikit kisah insan teristimewa yang telah mengandungkan insan agung, sebaik-baik makhluk yang pernah lahir di dunia ini. Bersama-sama kita mengikuti kisah agung Nabi Muhammad pada hari Ahad 5/4/2009 di Dewan Besar UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru sempena dengan acara sambutan Maulidurrasul 2009.

Wednesday, 1 April 2009

Temuduga DM54

Ada sahabat yang mencadangkan saya menulis sedikit tentang pengalaman temuduga DM54. Jadi, ia adalah sedikit coretan yang boleh saya kongsi bersama dan mungkin ia hanya benar bagi diri saya dan tidak berlaku kepada orang lain. Pun begitu, terima kasih kerana sudi membaca tulisan ini.
Umumnya, boleh dikatakan persediaan dan persiapan untuk temuduga adalah jauh lebih sukar berbanding dengan temuduga itu sendiri. Jika dibandingkan dengan masa temuduga sekitar 10 hingga 15 minit (malah ada yang hanya sekadar 5 minit sahaja), jauh lebih ringkas dari persiapan yang memakan masa berjam lama untuk menyiapkan "resume" atau mencari bahan-bahan yang telah tersimpan lama. Apatah lagi tempoh mengisi borang, mencari beg untuk diletakkan bahan yang telah siap dikumpul dsb yang memakan masa yang jauh lebih lama.
Akan tetapi, tempoh masa sekejap semasa temuduga amat bermakna. Ramai yang "frust" kerana tidak menjangkakan soalan apakah yang akan ditanya dan tidak terfikir pula apakah jawapan yang hendak diberikan secara spontan.
Setelah saya berbincang dengan mereka yang telah mengikuti temuduga tempohari dan hasil dari perbincangan tersebut, berikut adalah antara soalan yang ditanya:
a) Sila ceritakan tempoh perkhidmatan anda di UiTM,
b) Apakah bidang kepakaran anda?,
c) Apakah karya anda dalam bidang kepakaran telah diterbitkan dalam jurnal?,
d) Bagaimana anda melihat masa depan dalam bidang kepakaran anda / fakulti / pusat kajian anda?
e) Apakah anda bersedia untuk memegang apa-apa jawatan dalam pentadbiran universiti?.
Oleh itu, secara umumnya, boleh dikatakan soalan adalah berkaitan dengan bidang pengkhususan dan pengalaman kerja/memegang jawatan (post). Apa yang pasti adalah kemahiran anda berkomunikasi, berhujah, menyampaikan ide-ide dan pengetahuan anda mengenai bidang pengkhususan.
Semoga sedikit penerangan ini memberikan kebaikan kepada anda yang membaca.