Pagi ini sempat mendengar slot motivasi radio IKIM, bertajuk MAAF. Walaupun tidak sempat mendengar keseluruhan slot tersebut kerana sedang memandu, tapi sempat mengambil beberapa isi penting. Antaranya, maaf adalah sifat Allah, iaitu al-Afw. Allah sedia mengampunkan dosa hambaNya walaupun seluas lautan jika mereka kembali bertaubat kepada Allah. Sifat maaf juga merupakan akhlak Rasulullah s.a.w. dan baginda bersedia memaafkan orang musyrik yang telah menyakiti baginda. Bahkan Rasulullah mendoakan supaya orang tersebut diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah. Jelasnya di sini sebagai umat Islam kita disuruh memberi maaf dan ganjaran yang bakal diperolehi adalah keampunan dari Allah. Namun disyaratkan seseorang itu tidak hanya memberi maaf dibibir, sedang hatinya masih membara dengan keinginan untuk membalas dendam. Pendek kata memberi maaf perlulah dibuat dengan jujur dan ikhlas tanpa ada kemahuan untuk membalas dendam kepada orang yang pernah menyakiti dirinya. Moga dengan keikhlasan tersebut, kita akan diampunkan segala dosa oleh Allah.
0 comments:
Post a Comment