Monday, 30 January 2012

Upah Kerja Yang Ikhlas Dibayar 1000 Dinar Oleh Malaikat

Dipetik dari kitab karangan Syeikh Muhammad bin Abu Bakar yang menceritakan kisah dua bersaudara beragama Majusi di zaman Malik bin Dinar. Majusi tersebut berusia 73 dan 35 tahun. Pada suatu hari, mereka berpakat untuk menguji api yang telah lama mereka sembah. Lalu yang muda mencadangkan kepada abangnya supaya meletakkan tangan mereka di api tersebut dan melihat apakah api masih membakar mereka. Abangnya bersetuju dan menyarankan adiknya memulakan dahulu. Apabila si adik meletakkan tangannya, api tersebut telah membakar jarinya. Lalu dia berkata dengan marah, "Aku menyembahmu begitu lama tetapi engkau tetap membakar aku". Lalu dia berkata kepada abangnya, "Saudaraku, adalah lebih baik untuk kita mencari Tuhan yang lain, yang dapat mengampunkan dosa kita walaupun kita telah banyak membuat dosa!". Abangnya pun mencadangkan supaya mereka bertemu dengan orang yang dapat mengajarkan mereka tentang agama Islam.

Mereka pun bersetuju untuk bertemu Malik bin Dinar, apabila mereka melihat Malik, orang Majusi yang tua berkata; "Aku sudah tua dan sudah menghabiskan lama masa untuk menyembah api, kalau aku masuk Islam, pasti kaum dan keluargaku akan mengejek aku, oleh itu aku lebih rela menyembah api dari diejek oleh mereka". Saudaranya yang muda berkata; "Kalau kamu tidak mahu masuk Islam, pergilah kamu dengan urusan kamu dan kamu adalah orang yang paling celaka di dunia dan akhirat". Lalu dia kembali ke rumahnya dan membawa keluarganya untuk menghadiri majlis ilmu Malik bin Dinar.

Setelah selesai Malik bin Dinar menyampaikan kuliahnya, pemuda tersebut pun bangun dan membuat pengakuan bahawa dia mahu memeluk agama Islam. Lalu Malik bin Dinar pun menerangkan kepadanya tentang agama Islam dan berkata; "Tunggulah sebentar, supaya saya boleh mengumpulkan sedikit wang untuk perbelanjaan kamu dan keluargamu". Pemuda tersebut berkata; "Saya tidak mahu menjual agama dengan dunia". Lalu dia pun meninggalkan majlis ilmu tersebut dan membawa keluarganya tinggal di sebuah rumah di tempat yang baru.

Pada keesokkan harinya, isterinya berkata; "Alangkah eloknya jika abang dapat keluar bekerja dan dapat mencari nafkah untuk membeli makanan bagi keluarga". Lalu pemuda tersebut pun pergi mencari kerja di pasar, tetapi sayangnya tenaganya tidak diperlukan dan tidak ada orang yang dapat memberikannya kerja. Dia pun ke masjid dan bersolat hingga ke malam. Dia pulang ke rumah dengan tangan kosong. Setelah tiba di rumah isterinya bertanya; "Tidakkah abang mendapat apa-apa pada hari ini?". Pemuda tersebut menjawab; "Hari ini saya bekerja untuk "Raja" (Allah) dan Dia tidak memberi apa-apa, mungkin esok saya akan mendapat upah". Mereka pun tidur dalam keadaan lapar.

Pada hari yang kedua pemuda tersebut masih mencari kerja tetapi nasibnya masih seperti hari semalam dan dia kembali ke masjid untuk menunaikan solat hingga ke malam. Akhirnya dia pulang ke rumah masih dengan tangan yang kosong. Isterinya bertanya, apakah dia sudah mendapat upah dari kerjanya. Dia menjawab; "Hari ini saya belum mendapat upah, mungkin esok saya akan diberikan upah sebab esok adalah hari Jumaat". Lalu mereka tidur dalam keadaan lapar.

Pada hari ketiga, pemuda tersebut mencari pekerjaan, namun dia masih belum mendapat apa yang dicari dan dia kembali ke masjid untuk menunaikan solat sunat dua rakaat. Setelah selesai solat dia berdoa; "Wahai Tuhanku, Junjunganku, Pemimpinku, Engkau telah memuliakan aku dengan Islam, dan memakaikan aku dengan mahkota Islam, dan memberi aku petunjuk dengan Islam. Maka aku memohon pada hari Jumaat yang mulia ini agar engkau memberikan aku rezeki dengan tidak diduga. Ya Allah, aku sungguh malu dengan anak dan isteriku, dan aku sangat khuatir kalau-kalau mereka akan berubah disebabkan baru memeluk Islam".

Setelah selesai berdoa, dia pun menunaikan dua rakaat solat sunat sebelum solat Jumaat. Di rumah, isteri dan anaknya masih dalam keadaan lapar. Tiba-tiba datang seorang lelaki tampan muncul di depan rumahnya dan mengetuk pintu. Apabila isterinya membuka pintu, dia melihat ada seorang lelaki tampan yang membawa sebuah dulang yang ditutup dengan kain. Lelaki tersebut berkata; "Ambillah dulang ini dan katakan kepada suamimu inilah upah untuk dia bekerja selama dua hari. Suamimu telah bekerja dengan baik sekali dan kami telah menambah upahnya lebih-lebih lagi pada hari Jumaat yang mulia ini".

Apabila lelaki tampan tersebut beredar, si isteri pun membuka kain yang menutup dulang dan dia mendapati ada wang emas sebanyak 1000 dinar. Dengan rasa gembira, si isteri mengambil sekeping wang emas untuk keperluan makanan keluarganya. Dia membawa wang tersebut kepada seorang penjual wang beragama Nasrani. Penjual wang berasa hairan kerana wang tersebut mempunyai berat dua kali ganda dan ukirannya juga berbeza. Dia pun bertanya dari mana wanita tersebut mendapat wang emas tadi. Wanita itu pun menceritakan kisah suaminya dari awal hingga akhir. Penjual wang tadi berasa yakin yang wang itu bukan wang biasa dan dia bersetuju untuk membayar dengan harga 1000 dinar kepada wanita tersebut dan berkata; "Kalau sudah habis, beritahu lah saya kembali". Wanita itu pun berterima kasih dan beredar untuk membeli keperluan makanan keluarganya.

Apabila selesai menunaikan solat Jumaat, pemuda tadi mahu pulang ke rumah tetapi dia masih tidak mempunyai apa-apa untuk dibawa pulang. Lalu dia mengambil segengam tanah dan meletakkan ke dalam sapu tangannya dengan harapan jika isterinya bertanya dia mahu mengatakan dia ada membawa pulang "gandum".

Setelah tiba di rumahnya, pemuda ada mencium bau makanan. Dia pun meletakkan sapu tangan berisi tanah di muka pintu dan bertanya kepada isterinya dari manakah makanan diperolehi. Isterinya pun menceritakan kisah lelaki tampan yang membawa dulang dan kisah lelaki Nasrani penjual wang. Pemuda itu pun segera bersujud. Kemudian isterinya bertanya apakah yang ada dalam sapu tangan yang dibawa pulang? Pemuda tersebut berkata; "Tidak perlulah bertanya tentang perkara itu". Kemudian isterinya pun membuka sapu tangan dan dengan kuasa Allah tanah itu bertukar menjadi gandum. Sekali lagi suaminya segera bersujud syukur kepada Allah dan dia tetap beribadah dengan ikhlas kepada Allah hingga ke akhir hayatnya.

0 comments: